Tuesday 15 April 2014

Bandar Tentera Laut, Pelancongan dan Maritim





Bersempena Jubli Perak 25 tahun pemerintahan DYMM Seri Paduka Baginda Sultan Perak bertarikh 24 April 2009 Lumut telah di isytiharkan sebagai BANDAR TENTERA LAUT PELANCONGAN DAN MARITIM.

Lumut sebuah bandar kecil berkapasiti penduduk anggaran 31880 orang. Bandar yang terletak di daerah Manjung negeri Perak Malaysia pada kedudukan 84 km selatan Ipoh dan 12 km dari bandar Sitiawan ini merupakan pintu masuk ke Pulau Pangkor. Kini, Jeti Lumut menjadi penyambung kepada persisiran pantai dan pulau-pulau indah berdekatan. Suatu ketika dahulu, pantai ini dipenuhi banyak lumut menyebabkan penduduk tempatan menamakan kawasan tersebut sebagai 'Lumut'. Bandar Lumut boleh dijadikan sebagai landasan untuk para pengunjung menjelajah Pulau Pangkor dan sekeliling tanah besar.

Terdapat Pusat Penerangan Pelancongan, pelbagai kedai, restoran, bank dan beberapa buah hotel di sepanjang jalan utama bandar Lumut. Di sini juga terdapat pelbagai hotel dan restoran ala barat yang popular di kalangan pelancong asing seperti ROCKAFELLAS dan JOOK. Sekilas pandang tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan di bandar Lumut ini selain daripada membeli belah barangan cenderamata dan snek tradisional yang diperbuat daripada ikan dan sotong atau menikmati hidangan di restoran makanan tempatan mahupun barat. Namun begitu, pengisytiharan bandar Lumut sebagai bandar Tentera Laut, Pelancongan dan Maritim akan mengubah persepsi tersebut. Lumut merupakan sebuah bandar perlabuhan dan menempatkan Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia yang terbesar di Malaysia. Sebelum menjadi pusat penempatan bagi Tentera Laut Diraja Malaysia, bandar ini kurang dikenali dan merupakan lokasi memancing bagi para penduduk tempatan.


 Kini bandar Lumut telah berubah menjadi bandar yang hidup, meriah dan sibuk sejak bertapaknya Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di situ hampir tiga dekad yang lalu. Bandar Lumut dan Pengkalan Tentera Laut saling menyumbang kepada kepesatan pembangunan bandar ini.

















Info

.